Wednesday 31 August 2011

Makanan sedap tapi tak berkhasiat

 Makanan ringan bagaikan sudah menjadi satu kemestian bagi sesetengah orang. Apatah lagi di zaman yang serba pantas dan praktikal, lebih ramai yang senang memilih untuk makan makanan ringan.Namun, kebiasaan gaya hidup yang serba ringkas dan praktikal begini banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.Perkara pertama sekali, keperluan gizi dan khasiat yang diperlukan oleh tubuh badan diabaikan begitu sahaja.Apa yang menjadi pilihan mereka adalah mudah, segera dan enak dimakan.

      Sedangkan, makanan ringan sebegini sebenarnya sudah diketahui tidak mengandungi vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh setiap hari.Sebaliknya, ia mengandungi begitu banyak garam, MSG, lemak dan gula. Sebab itulah makanan sebegini digelar 'junk food' atau 'makanan sampah' kerana ia ternyata tidak berguna kepada tubuh badan kita.Jadi, fikir-fikirkanlah bila anda terasa mahu makan makanan sebegini.
  
KETAGIH MAKANAN RINGAN
     Ketagihan yang dimaksudkan adalah tubuh memerlukan benda tertentu untuk berasa lebih tenang baik dari segi fizikal ataupun mental.Selain rokok, kopi, alkohol dan dadah, makanan ringan juga berpotensi untuk menyebabkan masalah ketagihan.Dari aspek ketagihan makanan ringan ini, ia boleh dikatakan tubuh sering memerlukan makanan ringan yang digemari untuk mendapatkan rasa tenang.Berhati-hatilah bila anda sedang mengalami simpton begini.

TIP JAUHKAN DIRI DARI "JUNKFOOD  

BERSUKAN 
   Bersukan boleh menyebabkan tubuh merasa lebih aktif dan gembira kerana ia akan menghasilkan endorfin, hormon yang menenangkan.
 
KURANGKAN
     Berhenti mengambil makanan secara tiba-tiba mungkin sukar untuk anda lakukan.Namun, ia bukanlah mustahil untuk dilakukan. Jika anda tidak dapat melupakan makanan kerepek kentang yang lazat, cuba beli dalam kuatiti yang sedikit dan kecil.Jika masih lapar, cuba gantikan dengan mengambil makanan jenis kekacang atau buah-buahan.

AMBIL SARAPAN
       Sarapan yang baik mestilah mengandungi serat dan protein yang tinggi. Ini akan membuatkan anda merasa kenyang lebih lama dan mengurangkan keinginan untuk mencari makanan ringan.
 PILIH YANG MAHAL
       Kalau anda merasa terseksa setiap kali ingin membayar harga makanan ringan ini, besar kemungkinan anda akan berhenti daripada membelinya.

KAWAL GULA DARAH
          Gula darah yang stabil akan mengurangkan rasa lapar.Makan secara kerap tetapi dalam saiz dan kuantiti yang kecil.

SUPLEMEN
        Kalau tubuh kekurangan khasiat,tubuh secara automatik akan memberi perintah kepada otak untuk membuat sesuatu,misalnya makan.Ambil multivitamin kerana ia merupakan penyelesaian terbaik.
   


1 syawal tiba lagi


ALLAHU AKBAR...ALLAHU AKBAR....ALLAHU AKBAR
LAAILAHAILLALLAHU ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR WALILLAHILHAM...



1 Syawal tiba lagi...
Mengiring gelak dan tawa
Membawa sendu dan hiba
Menyemarakkan semangat raya
Dengan penuh kesyukuran pada Yang Esa.

1 Syawal tiba lagi
Takbir dan tahmid kembali bergema
Memenuhi ruang angkasa di mana-mana
Tanda kebesaran Tuhan segala punya
Tanda kemenangan menyempurnakan puasa

1 Syawal tiba lagi                                                                                                                                    
Rindu pada Ramadan masih bersisa 
Namun semangat lebaran kian membara 
Tidak lupa zakat dan fitrah ditunaikan
Dilengkapi dengan solat Aidilfitri
Yang bersua setahun hanya sekali                                                                                             
                                                                                                       
1 Syawal tiba lagi
Pusara yang disayangi meriah dikunjungi
Untuk yang pergi Al-Fatihah diiringi
Memohon kedamaian dari ilahi
Damailah insan-insan yang dipanggil kembali

1 Syawal tiba lagi...
Ya Allah berikan kami rahmat-Mu
Izinkan kami meluahkan gembira
Bersama mereka
Bersama ayah bonda
Bersama sanak saudara

Terima kasih
Memberi kami peluang sekali lagi
Memohon maaf atas kesilapan lalu
Memohon restu agar diberkati selalu

Jika duka yang mengiringinya
Berikan kegembiraan kami kepadanya
Jika benci yang mengiringinya
Berikan kasih sayang kami padanya

Diet Rendah Kolesterol

Diet rendah kolesterol dan rendah lemak tepu adalah perlu untuk mengelakkan risiko penyakit jantung, darah tinggi dan juga kandungan tinggi dalam kolesterol dalam darah ( high cholesterol blood serum ). Makanan yang disenaraikan di bawah ini tinggi dalam kandungan kolesterol atau asid lemak tepu dan seharusnya dielakkan.
Makanan yang perlu dielakkan
Minyak dan lemak seperti minyak sapi,mentega,minyak kelapa,lemak dari daging,ayam dan sebagainya.
  • Telur kuning dari ayam,itik,telur masin,ayam kampung dan ikan
  • Hasil-hasil telur seperti kaya,kastard telur dan kek
  • Organ dalaman haiwan seperti hati,limpa,perut dan sebagainya.
  • Hasil dari laut seperti ketam,udang,kepah,tiram,siput,abalon,sotong,ikan bilis dan sardin.
  • Hasil tenusu seperti susu penuh krim ( tepung atau susu segar ),keju melainkan jenis 'cottage', susu cair dan susu pekat manis.
  • Hasil daging proses seperti daging dalam tin,sosej dan frankfurter
  • Telur dihadkan kepada dua hingga tiga biji untuk seminggu.Namun, telur putih boleh diambil sebanyak mana yang disukai.
 Makanan yang boleh diambil
  • Lemak seperti marjerin, minyak tidak tepu ( polysaturated oil ) seperti minyak jagung, minyak kacang soya, minyak bunga matahari dan minyak kelapa sawit.
  • Sup sayur-sayuran dan daging tanpa lemak
  • Semua buah-buahan dan sayur-sayuran serta bijirin
  • Susu skim dan hasil dari kacang soya seperti tauhu dan tempe
  • Gula, madu, sirap, jem, minuman ringan, atau kordial
  • Kek, biskut, pastri dan puding yang diperbuat hanya menggunakan putih telur dan lemak tidak tepu.
AMALAN GAYA HIDUP SEIMBANG
    Penjagaan diri tidak sempurna sering kali menjadi amalan harian.Namun, tahukah anda betapa perlunya mencuri sedikit masa untuk merawat,menjaga dan memanjakan diri sendiri agar anda memperoleh gaya hidup yang lebih seimbang.Dalam masa yang sama, juga dapat mempraktikkan diet yang seimbang.

KAWAL PEMAKANAN

        Proses penuaan dapat dilambatkan jika anda mengamalkan pola pemakanan yang seimbang. Banyakkan makan makanan yang mengandungi serat yang tinggi, sayur dan buah-buahan. Kurangkan makanan berlemak,minuman yang mengandungi banyak kafein atau minuman ringan.

SENTIASA BERSENAM
 
     Bersenam mampu meningkatkan keupayaan dan kesihatan diri jika diamalkan secara berterusan. Namun, bagi anda yang baru mahu mengamalkan gaya hidup sihat, anda boleh mulakan dengan senaman ringan dahulu seperti sit-up.Amalkan setiap hari selepas bangun dari tidur.

MINUM LEBIH BANYAK AIR
       Kekeringan dan gejala penuaan boleh dilambatkan dengan meminum banyak air suam. Ini kerana air adalah aset penting untuk kesihatan tubuh badan,terutamanya pada kulit muka. Kekurangan jumlah air dalam badan boleh menyebabkan anda mudah diserang pelbagai penyakit. Selain itu juga, air penting untuk proses penghadaman dan penyingkiran toksin dalam tubuh badan.

MAKANAN TAMBAHAN
  
      Pengambilan vitamin adalah digalakkan sekiranya anda menghampiri usia 30-an. Bagaimanapun ia bergantung kepada keperluan anda, berdasarkan corak pemakanan seharian dan gaya hidup yang diamalkan. 

Hari Ibu

       Kaum ibu tentu berbangga apabila ada satu hari digelar hari ibu yang disambut segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan negara.Sambutan hari ibu adalah antara sambutan seluruh dunia, selain sambutan hari pekerja.Persoalannya apakah menghargai jasa ibu sekadar sehari dalam setahun? Dalam islam tidak menyebut mengenai Hari Ibu kerana setiap hari sepanjang tahun adalah untuk ibu. Allah memerintahkan agar bukan saja menghargai jasa ibu, tetapi juga bapa.Sebaliknya, budaya masyarakat sekarang membuat sambutan berlainan Hari Ibu dan Hari Bapa.

MEMBERI KEGEMBIRAAN
       
       Dalam islam, jasa ibu bukan sekadar dikenang dan dihargai, tetapi satu perintah daripada Allah.Setiap anak wajib mentaati, mengasihi, berbakti dan mengutamakan ibu dalam segenap perkara sepanjang masa.
            Perintah agama lebih menyeluruh dan lebih bermakna daripada sambutan Hari Ibu. Sambutan Hari Ibu sekadar satu tradisi, sedangkan perintah Allah mesti dilaksanakan.Barang siapa yang melakukan perintah Allah mendapat pahala dan yang ingkar pula dibalas dosa.
           Firman Allah bermaksud: ' Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah,dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua.Jika salah seorang telah lanjut usianya,atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata 'cis'terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.'
            Jelas sekali penghormatan terhadap ibu amat tinggi sehingga ditegah meninggikan suara ketika bercakap. Anak tidak dibenarkan membantah kata-kata ibu dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu, biarpun tidak bersetuju apa yang diperkatakan itu.Hati ibu tentu mudah terusik dengan sikap anak yang tidak menurut perintah atau melakukan sesuatu yang biadab.Kata-kata kesat,kasar, bantahan dan ugutan yang diucapkan oleh anak tentulah lebih mudah menjadikan ibu sebak dan menitiskan air mata.Oleh sebab itu, Allah memerintahkan agar anak bercakap dengan bahasa yang baik dengan ibu.

MENDOAKAN KESEJAHTERAAN

       Tahap perbuatan anak tidak menghormati ibu kini sudah melampau batasan.Banyak kes anak bukan lagi sekadar bertikam lidah, tetapi melarat sehingga sanggup mendera, memalu dan mencedera ibu.Malah demi kepentingan peribadi,ada anak sanggup mengheret ibu ke mahkamah, kononnya untuk mencari keadilan.
           Allah mengarahkan agar anak yang soleh sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada kedua ibu bapa sama ada yang masih hidup mahupun sudah meninggal.Firman Allah bermaksud:' Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil'.

Tuesday 30 August 2011

Cara mengawal rasa marah terhadap ahli keluarga

Memang tidak dapat dinafikan bahawa semua insan akan tidak dapat lari daripada marah terhadap ahli keluarga mereka. Tidak kiralah sama ada anda berasa sakit hati dengan campur tangan kedua ibu bapa, sakit hati dengan anak-anak yang tidak mengikut kata atau sakit hati dengan kurangnya perhatian daripada pasangan anda, adalah penting untuk  diri anda mempelajari bagaimana untuk mengawal kemarahan sebelum ia mula memusnahkan diri anda sendiri. Satu perkara mengenai rasa marah ialah ia selalunya berulang semula kepada mereka yang memulakannya.

      Tahanlah emosi negatif anda sebelum ia merebak ke dalam hati dan membesar menjadi tindakan yang tidak sepatutnya. Sikap yang buruk, kata-kata yang menyakitkan atau bersikap dingin bukanlah cara terbaik untuk menyelesaikan perbezaan.


CARANYA
  1.BERBICARA MENGENAINYA
         Jika ahli keluarga anda membuat hati anda terluka, sebaik-baiknya tunggulah masa yang sesuai dan biarkan orang yang membuat hati anda terluka itu tahu niat anda itu. Kadangkala kita bercakap tentang perkara yang buruk tanpa kita sedari atau tidak menyedari kesan buruknya terhadap orang lain. Berikan orang lain peluang untuk menerangkan tentang niat mereka sebelum memperkatakan tentang perasaan anda. Berkemungkinan dengan perbualan terbuka ini akan membantu menjelaskan 'angin' antara anda dan ahli keluarga anda.Pilihlah kawasan untuk berbincang jauh daripada orang lain. Jika boleh lakukan di kawasan di mana tidak ada orang mengenali anda dan ahli keluarga anda itu. Apa yang penting bersedialah untuk mendengar dengan lama dan bercakap dengan sedikit.



2. MAAF DAN LUPA
       Jika ahli keluarga anda berterusan  melukakan hati anda berulang kali dan meminta maaf selepas insiden itu berlaku, belajarlah untuk memaafkan dan teruskan kehidupan anda.Jangan menetapkan harapan yang tinggi untuk orang ini berubah dalam masa hadapan. Sebaliknya, terimalah dia seadanya dengan kefahaman bahawa dia tidak berniat untuk melukakan hati anda. Memang betul anda perlu memberitahu tentang masalah sikap ahli keluarga anda itu, tetapi anda perlu menerima kenyataan bahawa ahli keluarga anda itu tidak berupaya untuk mengawal kata-kata atau tindakan yang membawa kepada sikap terluka anda itu.

3.BERLATIH MENGELAK
       Jika ahli keluarga anda  berterusan menyakitkan hati anda selepas anda menerangkan dengan sejelasnya bagaimana anda rasa, anda mungkin perlu mngundur sementara dan berikan mereka peluang untuk berfikir tentang perkara itu dengan sebaik mungkin. Tetapi ini tidak bermakna anda bersikap dingin apabila anda bersikap dingin apabila anda berjumpa secara tiba-tiba atau mengelak untuk membalas balik panggilan atau berjumpa di perjumpaan sosial. Ini bermakna anda perlu mengekalkan sikap persahabatan jika anda bertembung dengannya secara tiba-tiba di majlis keluarga.

4.CARI ORANG TENGAH
        Jika konflik bertambah terukatau ia perlu diselesaikan, mintalah salah seorang ahli keluarga yang bersikap berkecuali dan anda percayai untuk mendengar cerita kedua belah pihak dan cuba untuk menyelesaikannya.Kadangkala konflik hanya dapat diselesaikan jika terdapatnya campur tangan orang ketiga.

BERSIKAP BAIK HATI
        Selalunya mereka yang agak sukar untuk disayangi adalah mereka yang memang sangat memerlukan kasih sayang. Jika ahli keluarga anda itu keras hati atau agak sukar untuk difahami, cubalah untuk mengekalkan hubungan persaudaraan tanpa memperkatakan tentang masalah sikapnya.Hantarlah kad atau kirimkan hadiah kepadanya.Apabila orang yang kurang mendapat kasih sayang merasai dirinya disayangi, sudah pasti anda akan dapat melihat perubahan dirinya secara beransur-ansur.
 

Kemuliaan ramadhan

      Seronok rasanya apabila ramadhan yang ditunggu-tunggu sudah pun menjelang tiba. Rasa syukur ke hadrat ilahi kerana dipanjangkan usia, dapat bertemu ramadhan kali ini. Sudah hampir setahun ramadhan berlalu meninggalkan kita, kini ramadhan muncul kembali dengan membawa seribu rahmat kepada manusia.Segala puji kepada Allah, mudah-mudahan ramadhan kali ini memberi impak positif dalam pembentukan personaliti diri dan masyarakat yang mendapat petunjuk Allah SWT.

       Itulah kemuliaan Ramadhan, kehadirannya amat dinanti-nantikan setiap Muslim mukmin yang faham erti Ramadhan dalam kalendar islam.Berbekalkan potensi kecerdasan emosi dan spiritual serta pancaran hidayah ilahi, mereka menyambut Ramadhan dengan hati penuh kesyukuran dan perasaan ceria. Tidak tergambar betapa seronoknya hati memikirkan nikmat-nikmat yang dijanjikan Allah SWT dan rasul-Nya,sepanjang siang dan malam Ramadhan. Jika boleh biarlah seluruh bulan islam dijadikan seperti Ramadhan.
      Ramadhan merupakan bulan rahmat kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Jika umat terdahulu dikurniakan umur panjang, mereka memiliki peluang beribadah dengan lebih banyak,umat Muhammad s.a.w. dikurniakan kelebihan Ramadhan untuk memperbanyakkan amalan dan bekalan dengan umur yang singkat.Amat adil kepada kita,walaupun kedatangannya sekali dalam setahun,ganjaran untuk direbut sungguh istimewa. Dengan kesedaran spiritual yang sentiasa membesarkan Allah, itulah keadilan Tuhan yang Maha Pemurah lagi Penyayang untuk hamba-hamba-Nya.
        Nikmat Ramadhan yang dikurniakan Allah sungguh luar biasa. Dalam bulan Ramadhan nikmat itu lagi berlipat kali ganda dan berlimpah ruah. Yang tiada diadakan bagi menambah nilainya kepada umat ini.Inilah masa terbaik bagi kita merebut segala kelebihan yang tersedia dihidangkan di hadapan mata. Untuk menangguhkannya hingga ke tahun hadapan, kena fikirkan semula kerana ajal maut boleh datang pada bila-bila masa.

BULAN RAHMAT
      Kedatangan Ramadhan itu sendiri adalah rahmat Allah kepada manusia.Ramadhan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.Allah SWT memuliakan Ramadhan.Rasulullah s.a.w juga memuliakan Ramadhan. Kita juga patut sama-sama menghormati dan memuliakan Ramadhan, sama seperti Allah dan rasul-Nya, cuma caranya memanglah berbeza.
         Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran,'Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan padanya al-Quran untuk menjadi petunjuk kepada manusia. Dan beberapa keterangan yang nyata, merupakan petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang batil' ( Surah al-Baqarah, ayat 185). FirmanNya lagi, 'Sesungguhnya kami telah menurunkannya ( al-Quran ) pada malam al-Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu. Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan' ( Surah al-Qadr, ayat 1-3 ). Turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan dan dianugerahkan ' Lailatul Qadar' pada bulan Ramadhan adalah bukti kemuliaan dan kebesaran Allah Taala.

      Rasulullah menyebutkan pelbagai kebaikan dan keistimewaan yang disediakan Allah pada bulan Ramadhan. Pada bulan Ramadhan, pahala ibadah digandakan shingga seribu kali ganda. Pahala amalan sunat digandakan menjadi pahala amalan wajib. Ada pula Lailatul Qadar yang pahalanya melebihi seribu bulan beribadah. Pintu syurga dibuka luas dan pintu neraka ditutup rapat.Semua iblis dan syaitan yang menjadi musuh manusia dibelenggu supaya tidak ganggu manusia.

           Secara praktikal, Rasulullah bersusah payah merebut janji-janji kebaikan dengan berpuasa dan beribadah secara bersungguh-sungguh sepanjang Ramadhan.Walaupun telah dijanjikan syurga pada hari kiamat nanti, baginda lebih ke hadapan merebut nikmat-nikmat Ramadhan sehingga mengalahkan para sahabat yang lain. Tiada istilah letih atau jemu beribadah dalam bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada sepuluh yang terakhir. Saidatina Aisyah menceritakan bahawa aktiviti ibadah Rasulullah sangat sibuk sepanjang Ramadhan, seolah-olah itulah Ramadhan terakhir baginda.
             Bagi kita, kedatangan Ramadhan menandakan datangnya suatu bulan yang dimuliakan Allah dan rasul-Nya.Ramadhan perlu dihormati sebagai suatu tempoh jangka masa yang dimuliakan Allah dan rasul-Nya. Jangan cemari kedatangan Ramadhan dengan kemungkaran dan kejahatan yang dimurkai Allah dan rasul-Nya. Jika kemungkaran dilakukan, itu tandanya kita mencemar kesucian Ramadhan yang penuh keberkatan itu.





Monday 29 August 2011

puasa oh puasa

Ramadhan tiba lagi !Kemunculan bulan ramadhan ini amat dinantikan oleh muslimin dan muslimat untuk melakukan amalan kepada Allah SWT seperti berpuasa.Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa,mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.Umat islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu,mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh.Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran,kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri.
       

     LAFAZ NIAT RAMADHAN      
  • Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
  • Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya:

“Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta’ala”.
  
WAKTU BERNIAT
Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.
  SYARAT WAJIB PUASA
 
Orang-orang Islam yang memenuhi syarat-syarat di bawah ini diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan:

  • Berakal/waras
  • Baligh (cukup umur)
  • Mampu/tidak uzur.
SYARAT SAH PUASA
Manakala syarat puasa itu diterima di dalam Islam (sah) ialah:

  • Orang Islam
  • Berakal - tidak sah jika gila atau kanak2 belum mumayyiz
  • Suci daripada haid dan nifas
  • Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa, iaitu bukan dalam tempoh haram puasa.
 RUKUN PUASA
   Rukun puasa ada dua, iaitu:
  • Berniat pada malam harinya
  • Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.
  SUNAT PUASA

Perkara-perkara berikut disunatkan ketika berpuasa:

  • Makan sahur serta melambatkannya
  • Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis atau air
  • Menjamu orang-orang berbuka puasa
  • Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan.
  PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
Manakala perkara-perkara berikut akan membatalkan puasa jika terjadi:

  • Makan dan minum dengan sengaja walaupun pada nilaian dan kadaran yang sedikit pun,seperti memakan saki baki makanan kecil yang terlekat pada celah gigi dan lain-lain lagi.
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja
  • Keluar darah haid atau nifas
  • Gila (hilang akal)
  • Pitam(termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.
  • Merokok disiang hari.(Termasuk menghisap ganja atau dadah)
  • Murtad (keluar dari Islam)
  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka seperti menyembur pewangi atau menyegar mulut dan sebagainya.Larangan ini tidak termasuk memasukkan air atau udara kedalam rongga terbuka kerana ingin berwuduk atau melegakan kesakitan dan ketidakselesaan pada rongga(dengan syarat air tersebut tidak diminum atau ditelan dengan sengaja).
ADAB PUASA