Tuesday 30 August 2011

Kemuliaan ramadhan

      Seronok rasanya apabila ramadhan yang ditunggu-tunggu sudah pun menjelang tiba. Rasa syukur ke hadrat ilahi kerana dipanjangkan usia, dapat bertemu ramadhan kali ini. Sudah hampir setahun ramadhan berlalu meninggalkan kita, kini ramadhan muncul kembali dengan membawa seribu rahmat kepada manusia.Segala puji kepada Allah, mudah-mudahan ramadhan kali ini memberi impak positif dalam pembentukan personaliti diri dan masyarakat yang mendapat petunjuk Allah SWT.

       Itulah kemuliaan Ramadhan, kehadirannya amat dinanti-nantikan setiap Muslim mukmin yang faham erti Ramadhan dalam kalendar islam.Berbekalkan potensi kecerdasan emosi dan spiritual serta pancaran hidayah ilahi, mereka menyambut Ramadhan dengan hati penuh kesyukuran dan perasaan ceria. Tidak tergambar betapa seronoknya hati memikirkan nikmat-nikmat yang dijanjikan Allah SWT dan rasul-Nya,sepanjang siang dan malam Ramadhan. Jika boleh biarlah seluruh bulan islam dijadikan seperti Ramadhan.
      Ramadhan merupakan bulan rahmat kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Jika umat terdahulu dikurniakan umur panjang, mereka memiliki peluang beribadah dengan lebih banyak,umat Muhammad s.a.w. dikurniakan kelebihan Ramadhan untuk memperbanyakkan amalan dan bekalan dengan umur yang singkat.Amat adil kepada kita,walaupun kedatangannya sekali dalam setahun,ganjaran untuk direbut sungguh istimewa. Dengan kesedaran spiritual yang sentiasa membesarkan Allah, itulah keadilan Tuhan yang Maha Pemurah lagi Penyayang untuk hamba-hamba-Nya.
        Nikmat Ramadhan yang dikurniakan Allah sungguh luar biasa. Dalam bulan Ramadhan nikmat itu lagi berlipat kali ganda dan berlimpah ruah. Yang tiada diadakan bagi menambah nilainya kepada umat ini.Inilah masa terbaik bagi kita merebut segala kelebihan yang tersedia dihidangkan di hadapan mata. Untuk menangguhkannya hingga ke tahun hadapan, kena fikirkan semula kerana ajal maut boleh datang pada bila-bila masa.

BULAN RAHMAT
      Kedatangan Ramadhan itu sendiri adalah rahmat Allah kepada manusia.Ramadhan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.Allah SWT memuliakan Ramadhan.Rasulullah s.a.w juga memuliakan Ramadhan. Kita juga patut sama-sama menghormati dan memuliakan Ramadhan, sama seperti Allah dan rasul-Nya, cuma caranya memanglah berbeza.
         Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran,'Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan padanya al-Quran untuk menjadi petunjuk kepada manusia. Dan beberapa keterangan yang nyata, merupakan petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang batil' ( Surah al-Baqarah, ayat 185). FirmanNya lagi, 'Sesungguhnya kami telah menurunkannya ( al-Quran ) pada malam al-Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu. Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan' ( Surah al-Qadr, ayat 1-3 ). Turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan dan dianugerahkan ' Lailatul Qadar' pada bulan Ramadhan adalah bukti kemuliaan dan kebesaran Allah Taala.

      Rasulullah menyebutkan pelbagai kebaikan dan keistimewaan yang disediakan Allah pada bulan Ramadhan. Pada bulan Ramadhan, pahala ibadah digandakan shingga seribu kali ganda. Pahala amalan sunat digandakan menjadi pahala amalan wajib. Ada pula Lailatul Qadar yang pahalanya melebihi seribu bulan beribadah. Pintu syurga dibuka luas dan pintu neraka ditutup rapat.Semua iblis dan syaitan yang menjadi musuh manusia dibelenggu supaya tidak ganggu manusia.

           Secara praktikal, Rasulullah bersusah payah merebut janji-janji kebaikan dengan berpuasa dan beribadah secara bersungguh-sungguh sepanjang Ramadhan.Walaupun telah dijanjikan syurga pada hari kiamat nanti, baginda lebih ke hadapan merebut nikmat-nikmat Ramadhan sehingga mengalahkan para sahabat yang lain. Tiada istilah letih atau jemu beribadah dalam bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada sepuluh yang terakhir. Saidatina Aisyah menceritakan bahawa aktiviti ibadah Rasulullah sangat sibuk sepanjang Ramadhan, seolah-olah itulah Ramadhan terakhir baginda.
             Bagi kita, kedatangan Ramadhan menandakan datangnya suatu bulan yang dimuliakan Allah dan rasul-Nya.Ramadhan perlu dihormati sebagai suatu tempoh jangka masa yang dimuliakan Allah dan rasul-Nya. Jangan cemari kedatangan Ramadhan dengan kemungkaran dan kejahatan yang dimurkai Allah dan rasul-Nya. Jika kemungkaran dilakukan, itu tandanya kita mencemar kesucian Ramadhan yang penuh keberkatan itu.





No comments:

Post a Comment