Wednesday 31 August 2011

Hari Ibu

       Kaum ibu tentu berbangga apabila ada satu hari digelar hari ibu yang disambut segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan negara.Sambutan hari ibu adalah antara sambutan seluruh dunia, selain sambutan hari pekerja.Persoalannya apakah menghargai jasa ibu sekadar sehari dalam setahun? Dalam islam tidak menyebut mengenai Hari Ibu kerana setiap hari sepanjang tahun adalah untuk ibu. Allah memerintahkan agar bukan saja menghargai jasa ibu, tetapi juga bapa.Sebaliknya, budaya masyarakat sekarang membuat sambutan berlainan Hari Ibu dan Hari Bapa.

MEMBERI KEGEMBIRAAN
       
       Dalam islam, jasa ibu bukan sekadar dikenang dan dihargai, tetapi satu perintah daripada Allah.Setiap anak wajib mentaati, mengasihi, berbakti dan mengutamakan ibu dalam segenap perkara sepanjang masa.
            Perintah agama lebih menyeluruh dan lebih bermakna daripada sambutan Hari Ibu. Sambutan Hari Ibu sekadar satu tradisi, sedangkan perintah Allah mesti dilaksanakan.Barang siapa yang melakukan perintah Allah mendapat pahala dan yang ingkar pula dibalas dosa.
           Firman Allah bermaksud: ' Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah,dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua.Jika salah seorang telah lanjut usianya,atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata 'cis'terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.'
            Jelas sekali penghormatan terhadap ibu amat tinggi sehingga ditegah meninggikan suara ketika bercakap. Anak tidak dibenarkan membantah kata-kata ibu dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu, biarpun tidak bersetuju apa yang diperkatakan itu.Hati ibu tentu mudah terusik dengan sikap anak yang tidak menurut perintah atau melakukan sesuatu yang biadab.Kata-kata kesat,kasar, bantahan dan ugutan yang diucapkan oleh anak tentulah lebih mudah menjadikan ibu sebak dan menitiskan air mata.Oleh sebab itu, Allah memerintahkan agar anak bercakap dengan bahasa yang baik dengan ibu.

MENDOAKAN KESEJAHTERAAN

       Tahap perbuatan anak tidak menghormati ibu kini sudah melampau batasan.Banyak kes anak bukan lagi sekadar bertikam lidah, tetapi melarat sehingga sanggup mendera, memalu dan mencedera ibu.Malah demi kepentingan peribadi,ada anak sanggup mengheret ibu ke mahkamah, kononnya untuk mencari keadilan.
           Allah mengarahkan agar anak yang soleh sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada kedua ibu bapa sama ada yang masih hidup mahupun sudah meninggal.Firman Allah bermaksud:' Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil'.

No comments:

Post a Comment